CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Friday, April 24, 2009

Tugasan 1: Ulasan BUKU

Dalam tugasan ini, saya akan mengulaskan satu buku berkaitan dengan kajian tindakan. Sedikit informasi tentang buku ini ialah:



Tajuk: The Art of Action Research in the Classroom
Penulis: Christine Macintyre
Tahun: 2000
Penerbit: David Fulton Publishers
Negeri Penerbit: London

Bab 1: Penerangan Kajian Tindakan
Bab 2: Peranan Literatur
Bab 3: Formulasi Persoalan Kajian
Bab 4: Pengumpulan Data
Bab 5: Analisa Data
Bab 6: Penulisan Disertasi atau Tesis

Buku ini merupakan satu pengenalan kepada kajian tindakan, khususnya kajian tindakan yang dilakukan dalam skala kecil iaitu di dalam bilik darjah. Buku ini ditujukan khas untuk penyelidik novis yang biasanya terdiri daripada guru novis atau guru pelatih untuk membantu dalam isu-isu yang biasa dihadapi dalam proses mula-mula berjinak dengan kajian tindakan.

Dalam bab pertama, penulis menerangkan apakah kajian tindakan dan prinsip-prinsip kajian tindakan. Menurut penulis, kajian tindakan ialah proses di mana penyelidik merefleks tentang amalan pengajaran dan pembelajaran yang sedia ada serta penyelidik akan mula tampil dengan masalah yang perlu diselesaikan. Dalam bab ini, penulis sangat menekankan peranan reflektif untuk mengenalpasti masalah sama ada masalah pada peringkat permulaan ataupun semasa kajian telah dimulakan. Hal ini bermaksud reflektif penting dalam proses menguji pelbagai cara untuk pengajaran atau prosedur dalam bilik darjah atau cuba melakukan sesuatu untuk kali pertama.

Bab kedua membincangkan peranan tinjauan literasi dalam kajian iaitu bagaimana ia menjadi panduan dalam sesebuah kajian yang bakal dijalankan. Menurut penulis, tinjauan literasi penting untuk menunjukkan topik yang dipilih adalah relevan, memastikan kajian tersebut boleh menjadi kesinambungan kepada kajian lepas, menjadi petunjuk untuk mereka pelan tindakan dan untuk mengenalpasti permasalahan yang berpontensi dihadapi dalam sesesuatu kajian. Dalam tip tinjauan pembacaan, penulis menerangkan dengan terperinci panduan untuk membuat tinjauan literasi bermula dari pencarian sumber, teknik pembacaan dan penulisan tinjauan literasi. Dalam bab ini, kita dapat menyedari bahawa penulis memberi penekanan terhadap teknik pembacaan yang kritikal dan analitikal contohnya dalam menulis nota ringkas berkaitan dengan topik semasa pembacaan dan teknik penulisan tinjauan pembacaan yang tepat dan berkesan serta tidak menunjukkan ciri-ciri plagiarisme.

Bab ketiga pula menyatakan persoalan kajian merupakan fokus utama penyiastan kajian kerana sebarang keputusan kajian memberi bukti atau data untuk menjawab persoalan-persoalan yang dikemukan. Persoalan kajian mestilah persoalan yang jelas, tepat dan tulen. Pembentukkan persoalan bukanlah sesuatu yang senang dilakukan tetapi ia perlu berdasarkan tiga proses iaitu reflektif tentang praktis bilik darjah yang ingin dikaji, pembacaan literasi dan pengalaman di bilik darjah serta strategi yang telah dikenalpasti oleh penyelidik untuk mengatasi permasalah dalam bilik darjah. Ini adalah untuk memastikan persoalan tersebut adalah tepat dan tidak terkeluar daripada konteks yang ingin dikaji. Melalui persoalan-persoalan ini, maka penyelidik akan menentukan hipotesis yang akan diuji. Hipotesis yang direka juga harus melalui proses yang sama seperti pembentukkan persoalan tadi iaitu melalui proses reflektif, pembacaan literasi dan perbincangan dengan mereka yang berpengetahuan luas tentang bidang yang ingin dikaji. Bab ini seterusnya menerangkan tentang etika kajian tindakan iaitu penulis menyentuh sedikit sebanyak tentang isu bias, kesahan dan kebolehpercayaan. Selain daripada itu, penulis juga menyebut tentang konteks kajian mestilah dinyatakan dengan terperinci iaitu maklumat seperti umur, persekitaran rumah murid, maklumat tentang sekolah dan tentang kelas yang dikaji. Maklumat ini penting agar pembaca yang ingin mengaplikasikan hasil kajian mendapat gambaran sebenar supaya ia betul-betul boleh dimanfaatkan oleh pembaca tersebut.

Manakala bab keempat buku ini membincangkan tentang pelan tindakan pengumpulan data. Pengumpulan data adalah perkara yang tidak kurang pentingnya dan ia juga haruslah berdasarkan kepada persoalan apakah data yang ingin dikumpul, bagaimana ia perlu dikumpul, di mana pengumpulan data dilakukan dan siapa yang boleh mengumpul data. Persoalan lain yang tidak kurang penting ialah seperti apakah sumber data, apakah jenis perakaman yang perlu dibuat, implikasi pengumpulan data dan siapakah orang yang perlu diberitahu tentang pengumpulan data dalam sesuatu kajian tindakan. Dalam penerangan tentang instrumen kajian, penulis menyatakan terdapat lima jenis instrumen utama yang boleh digunakan iaitu nota lapangan, rakaman audio dan video, jadual pemerhatian berstruktur, borang kaji selidik dan temubual. Untuk setiap instrumen ini, penulis dengan penuh teliti telah menerangkan satu persatu kelebihan dan kekurangan instrumen.

Bab kelima adalah berkenaan dengan analisa data di mana semua data mentah yang terdiri daripada pelbagai sumber, strategi dan triangulasi perlulah diproses dan diberi makna agar ia mempunyai penerangan dari segi tema, insidens, corak dan trend data yang diperolehi. Namun, menurut penulis, memandangkan kajian yang dilakukan dalam bilik darjah tidak melibatkan jumlah murid yang ramai, maka analisa statistikal yang kompleks tidak diperlukan, cukuplah menggunakan diagram, jadual dan graf untuk menunjukkan hasil penemuan. Apa yang paling utama ialah pemilihan cara untuk melapor dan mempamer data mestilah bersesuaian dan logik dengan jumlah data yang diuruskan.

Bab terakhir menyentuh tentang penulisan disertasi atau tesis di mana penulis menyatakan biasanya penulisan disertasi atau tesis ini berpandukan kepada format dan kriteria yang telah disediakan oleh pihak universiti. Dalam bab ini, penulis telah memberikan tips dan petunjuk yang berguna dalam penulisan disertasi yang terbaik dan sempurna.

Keseluruhan, pada pendapat saya buku ini adalah sesuai dibaca oleh guru yang baru mengenali tentang kajian tindakan kerana penulis telah menerangkan konsep dan peringkat kajian tindakan dengan terperinci dan panjang lebar. Malah, satu kelebihan buku ini ialah penulis boleh membantu para pembaca mendapat pemahaman yang lebih tentang apa yang ingin disampaikan dengan penggunaan contoh yang pelbagai dan benar-benar menggambarkan situasi sebenar dalam melakukan kajian tindakan. Bahasa yang digunakan oleh penulis juga adalah mudah dan tidak sukar untuk difahami.

0 comments: