CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Sunday, May 24, 2009

Tugasan 1: Ulasan BUKU - sambungan

Sebelum saya meneruskan dengan ulasan buku, ingin saya nyatakan bahawa post kali ini adalah sebenarnya lanjutan kepada post Tugasan 1: Ulasan Buku pada 24 April.

Konsep Kajian Tindakan
Kajian tindakan ialah proses di mana penyelidik merefleks tentang amalan pengajaran dan pembelajaran yang sedia ada serta penyelidik akan mula tampil dengan masalah yang perlu diselesaikan.

Mengapa guru perlu membuat kajian tindakan?
  1. Guru boleh membuat perubahan praktikal yang membawa kepada penambahbaikan proses pengajaran dan pembelajaran (p&p) dalam bilik darjah.
  2. Sekiranya ramai guru membuat kajian tindakan, maka pelbagai strategi p&p yang berkesan boleh dikumpulkan. Ini adalah sesuatu tindakan yang baik kerana guru-guru boleh berkongsi strategi dan memilih strategi yang terbaik dan bersesuaian dengan konteks pelajarnya.
  3. Guru-guru mempunyai bukti bahawa mereka adalah inovatif, reflektif dan mengikuti perkembangan semasa serta bersedia mencuba kaedah-kaedah baru yang diperkenalkan.
  4. Penemuan yang berdasarkan kepada bukti penting bukan sahaja pada peringkat bilik darjah tetapi ia boleh mempengaruhi pembuat polisi membuat keputusan yang boleh memberi faedah kepada pelajar.

Reka Bentuk Kajian Tindakan

  • Model - model yang diketengahkan dalam buku ini adalah seperti gambar di bawah. Walaupun gambar di bawah kurang jelas tapi kita masih dapat melihat model ini mengambarkan kajian tindakan seperti putaran roda. Ia bukanlah satu bentuk kajian yang dijalankan dalam satu pusingan sahaja malah ia boleh diperbaiki dan diulang sehingga mencapai tahap perubahan yang diinginkan. Model ini juga merupai model-model lain dalam kajian tindakan, contohnya model oleh Lewin (1946, dalam Cohen et al. , 2000) yang menyatakan kajian tindakan ialah satu siri langkah yang berulang yang meliputi perancangan, tindakan, pemerhatian dan penilaian tentang kesan tindakan (Taylor, Wilkie & Baser, 2006). Penerangan lanjut berkenaan model ini akan diterangkan dalam prosedur kajian tindakan di bawah.
  • Sampel/ Peserta kajian - sampel ialah para pelajar
  • Setting Kajian - seperti yang telah dinyatakan sebelum ini, buku ini ditujukan untuk guru novis yang baru sahaja berjinak-jinak dengan kajian tindakan, maka setting kajian yang dibincangkan adalah pada skala kecil iaitu dalam bilik darjah
Prosedur Kajian Tindakan
Menurut buku ini, langkah-langkah dalam kajian tindakan adalah seperti berikut:
  1. Refleksi dan analisis amalan pada masa sekarang. Mendapat idea umum tentang tajuk dan konteks kajian.
  2. Meninjau literatur dan berbincang dengan rakan sekerja berkenaan tajuk.
  3. Menyediakan tentatif pelan tindakan dan mengambil kira pelbagai strategi kajian.
  4. Mengambil tindakan. Memantau kesan tindakan - penilaian tentang strategi dan persoalan kajian.
  5. Membuat kesimpulan, penerangan dan cadangan untuk kajian pada masa hadapan.
  6. Sekiranya proses di atas tidak boleh menjurus kepada penyelesaian, maka penilaian tentang keseluruhan dilakukan.
  7. Tajuk dihalusi semula - pemilihan teks kunci, formulasi persoalan kajian, pelan tindakan yang dihalusi semula
  8. Pelan tindakan dirancang semula.
Pengumpulan dan Penganalisaan Data

.: Instrumen Kajian dan Teknik Pengumpulan Data

a) Nota Lapangan
- Merupakan cara yang cepat dan mudah untuk merakam aspek tingkah laku. Ia merupakan nota tentang pemerhatian cepat berkaitan dengan sesuatu yang sedang berlaku sekarang.
- Perakaman tentang nota rakaman boleh merupakan sesuatu yang kebetulan atau dirancang terlebih dahulu iaitu contohnya jika penyelidik ingin melihat tentang sesuatu yang spesifik (contoh tingkah laku pelajar)

- Kebaikan:
i) Rekod yang tulus
ii) Berguna untuk pemerhatian spesifik yang boleh menunjukkan banyak butiran
iii) Perbandingan berkaitan dengan masa mudah untuk dilakukan
iv) Bagus digunakan untuk mengutip data untuk kajian kes
- Keburukan:
i) Boleh menyebabkan rekod yang terlampau banyak dan melarikan fokus kajian
ii) Subjektif
iii) Tidak boleh digunakan untuk perbualan
iv) Mesti dianalisa secepat mungkin untuk memudahkan proses mengingat semula butiran

b) Rakaman pita audio dan video
- Oleh kerana nota lapangan tidak dapat merekod perbualan, maka pita audio dan video boleh digunakan untuk merakam interaksi, kesenyapan, kelajuan percakapan, intonasi suara serta perkataan sebenar yang diucapkan.
- Boleh mengurangkan bias kerana maksud sebenar dalam interaksi adalah jelas.
- Rakaman video boleh menganalisa postur tubuh dan ekspresi muka yang boleh menunjukkan reaksi dan aksi terhadap sesuatu tindakan, tetapi ia juga boleh disalahanggap. Maka, ia perlu disertakan sekali dengan bukti lain yang didapati daripada trangulasi data.

- Kebaikan:
i) Membuat rekod tepat dan boleh dimainkan berulang kali
ii) Memberi lebih banyak butiran berbanding rekod lain
iii) Tiada bias personal
iv) Boleh ditranskripsikan pada waktu lain
- Keburukan:
i) Bias prosedur (kehadiran peralatan/ pergerakan kanak-kanak)
ii) Bunyi/pergerakan latar belakang boleh mengganggu
iii) Video memerlukan tukang rakam
iv) Memerlukan masa untuk transkripsi

c) Jadual Pemerhatian Berstruktur
- Sesuai digunakan untuk mengumpul data objektif dan ia boleh digunakan sama ada semasa aspek pengajaran atau pembelajaran.
- Untuk membangunkan instrumen ini, 3 kata kunci yang penting iaitu kesesuaian, kejelasan dan ketangkasan melakukan pemerhatian
- Aspek yang perlu diambil kira: pemilihan bilik darjah yang dijadikan subjek, reka bentuk jadual, pemerhatian dan pentafsiran tingkah laku

- Kebaikan:
i) Merekod tingkah laku yang penting untuk analisis data
ii) Maklumat spesifik boleh dikumpul secukupnya
iii) Impak visual boleh diperhatikan - masalah boleh dikenalpasti
- Keburukan:
i) Boleh menjadi sukar untuk merekod sesetengah pergerakan
ii) Banyak maklumat hilang seperti maklumat non-verbal
iii) Bias prosedural kerana pemerhati yang membuat nota pemerhatian

d) Borang Soal Selidik
- Ia merupakan satu tinjauan tentang pelbagai pendapat daripada sejumlah orang yang banyak yang memberi maklum balas secara tanpa dikenali.
- Soalan yang ditanya adalah standard dari segi jenis dan jumlah soalan
- Oleh kerana jawapan diberi tanpa dikenali sumbernya, maka ia boleh mendapatkan pendapat yang jujur

- Kebaikan:
i) Cepat untuk diadministrasikan
ii) Jawapan tanpa dikenali sumber
iii) Banyak respons
iv) Tiada interaksi muka
v) Soalan adalah standard
- Keburukan:
i) Memerlukan masa yang panjang untuk direka
ii) Jawapan adalah tanpa penerangan lanjut
iii) Maklumat hanya pada peringkat permukaan sahaja
iv) Sukar untuk mengikuti respons yang menarik

e) Temubual
- Merupakan interaksi muka ke muka yang membenarkan penemubual untuk bertanya tentang soalan-soalan yang telah tersedia
- Perlu mengambil kira pelbagai aspek; setting, organisasi temubual, pengurusan masa, bias, fokus temubual, bilangan soalan, jenis soalan, penyataan, bilangan temubual, analisis data kualitatif dan jadual temubual

- Kebaikan:
i) Penyelidik bertemu dengan orang yang ditemubual - perkongsian personal membantu
dalam interpretasi makna
ii) Jawapan yang menarik boleh diikuti tanpa penangguhan
iii) Pita rakaman (dengan kebenaran) boleh digunakan untuk merekod butiran
iv) Maklum balas personal boleh diperolehi
- Keburukan:
i) Mengambil masa menyebabkan kurang respons
ii) Prosedural dan personal bias
iii) Penyelidik boleh mendorong orang yang ditemubual kepada jawapan - bias berlaku
iv) Sukar untuk difokuskan kepada isu
v) Memerlukan masa untuk saling percaya antara penemubual dan orang yang ditemubual


.: Teknik Penganalisaan
Setiap data mentah yang diperolehi perlulah diproses dan diberi makna. Untuk membuat penerangan tentang data mentah yang diperolehi kata kunci seperti tema, insidens, corak dan trend boleh digunakan. Memandangkan kajian yang dilakukan dalam bilik darjah tidak melibatkan jumlah murid yang ramai, maka analisa statistikal yang kompleks tidak diperlukan, cukuplah menggunakan diagram, jadual dan graf untuk menunjukkan hasil penemuan. Apa yang paling utama ialah pemilihan cara untuk melapor dan mempamer data mestilah bersesuaian dan logik dengan jumlah data yang diuruskan. Buku ini data dilaporkan dan dipamerkan mengikut sumber data diperolehi:

a) Data daripada kajian kes:
Sekiranya hanya sebilangan kecil pelajar dikaji, maka data boleh dilaporkan secara kajian kes individu. Penyelidik juga perlu mengumpul bukti kumulatif agar ia boleh mengenalpasti data yang menunjukkan adakah penambahbaikan telah tercapai untuk sesetengah individu atau memerlukan lebih latihan.

b) Data daripada pemerhatian berjadual:
Oleh kerana pemerhatian dilakukan secara berjadual, rekod pemerhatian ini seharusnya sudah boleh menunjukkan corak dan trend tingkah laku. Ia juga boleh digunakan untuk perbandingan dengan mengkaji pemerhatian pada peringkat awal dan peringkat akhir.

c) Data daripada soal selidik
Soalan jenis tertutup
d) Data daripada rakaman audio dan temubual
Untuk rakaman audio, transkripsi dianalisa. Ekstrak ringkas daripada rakaman audio dan temubual boleh diletakkan dalam teks tesis atau laporan kerana ia membantu pemahaman pembaca tetapi perbualan penuh perlu disertakan dalam appendiks.

e) Data daripada rakaman video
Penerangan penuh verbal perlu dibuat dalam laporan tesis kerana pembaca mungkin tidak akan melihat sendiri pita video tersebut atau tidak mempunyai masa atau kemahiran untuk membuat pemerhatian. Gambar juga perlu diambil daripada video untuk memberi penerangan yang lebih kritikal.


Etika Kajian Tindakan
Buku ini membincangkan beberapa isu etika. Antaranya: protokol pemerhatian, kesulitan, anonim (tidak dikenali), kajian kanak-kanak, bias, kesahan dan kebolehpercayaan.

a) Kesahan
Menurut buku ini, kajian bilik darjah yang melibatkan skala kecil tidak memerlukan analisis statistikal untuk membuktikan kesahan kajian. Namun begitu, beberapa persoalan perlu dijawab untuk memberi kesahan pada kajian iaitu:
  • Adakah soalan dibentuk secara jelas supaya jawapan akan memberi data untuk menjawab persoalan kajian
  • Adakah prosedur adalah jelas dalam semua peringkat?
  • Adakah langkah telah diambil untuk mengurangkan bias dan meningkatkan kebolehpercayaan?
  • Adakah tuntutan yang dibuat berdasarkan kepada persoalan kajian, pelan tindakan dan bukti-bukti yang telah dikumpulkan?
b) Kebolehpercayaan
Mengurangkan bias adalah satu cara untuk menjadikan kajian memiliki kebolehpercayaan. Dalam bilik darjah, banyak perkara boleh dilakukan untuk meningkatkan kebolehpercayaan, contohnya jangan terburu-buru mengumpul data, sebaliknya perlu dirancang sebaik mungkin.

0 comments: