CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Wednesday, May 27, 2009

Proposal Kajian Tindakan

Nama Pengkaji:

Mohammad Fairus Khazali Ismail

Jovinia Jowinis

Nurul Hafizah Che Mat

Elenser Uning

Aisyatulasyiqah Mohamed


Tajuk:

PENGGUBAHAN LAGU UNTUK MENINGKATKAN PENCAPAIAN SUBJEK SEJARAH


1. Refleksi Pengajaran dan Pembelajaran Lalu

Sepanjang saya mengajar mata pelajaran sejarah di Tingkatan 3 Wardah, saya mendapati pencapaian para pelajar dalam subjek ini adalah kurang memberangsangkan. Dalam kebanyakan kes, hasil daripada keputusan ujian-ujian penilaian lepas menunjukkan para pelajar keliru dalam menjawab soalan yang mempunyai kaitan di antara fakta dengan tarikh. Dalam ujian Penilaian 1, iaitu soalan-soalan yang meminta pelajar untuk membuat perkaitan antara peristiwa, fakta dan tarikh, saya dapati hanya 41% sahaja pelajar yang dapat menjawab dengan tepat. Manakala dalam ujian Penilaian 2, bagi jenis soalan-soalan yang sama, didapati hanya 38% pelajar sahaja yang dapat memberi jawapan yang tepat. Hasil daripada tinjauan yang saya buat, didapati para pelajar di kelas ini agak sukar dalam mengingati fakta-fakta serta tarikh-tarikh peristiwa penting. Apabila ditanya kepada para pelajar mengenai masalah utama dalam menjawab soalan sejarah, kebanyakan daripada mereka menyatakan bahawa terlalu banyak fakta yang perlu diingat. Maka, hal ini telah mendatangkan masalah kepada para pelajar.

Kenapa perkara ini boleh terjadi di kelas tersebut? Adakah kaedah menghafal tradisional tidak sesuai digunakan di kelas tersebut? Perlukah diadakan pendekatan yang berbeza dalam memastikan pelajar kelas tersebut mampu menyaingi kelas-kelas lain yang lebih tinggi pencapaiannya?

Pelbagai pendekatan telah saya gunakan dalam menangani masalah ini namun tidak memberikan hasil seperti yang diharapkan. Saya berpendapat lemahnya teknik menghafal di kalangan pelajar ialah disebabkan oleh pengabaian guru termasuklah saya terhadap kepentingan semangat patriotik di kalangan para pelajar. Sekiranya saya tidak membetulkan keadaan ini, saya pasti pelajar kelas ini tidak dapat menjawab dengan betul semua soalan yang mengaitkan fakta dengan tarikh yang akhirnya akan menyebabkan keemerosotan gred pencapaian sejarah di sekolah saya.


2. Fokus Kajian

Walaupun saya mengesan banyak masalah yang dihadapi oleh pelajar saya, saya hanya akan memfokuskan kajian ini kepada masalah-masalah untuk mengingat nama, peristiwa dan tarikh. Pelajar –pelajar saya didapati hanya mampu untuk mengingat dan mengaitkan fakta dan tarikh hanya pada tahap yang terhad sahaja. Namun, saya juga mendapati bahawa para pelajar boleh mengingat lirik-lirik lagu yang pada kebiasaannya kita dengar di radio. Maka, saya berpendapat bahawa penggunaan teknik lagu-lagu tersebut dalam proses pengajaran dan pembelajaran boleh diaplikasikan dalam usaha meningkatkan prestasi para pelajar dalam subjek ini.


3. Objektif Kajian

Selepas kajian ini selesai dijalankan, pelajar-pelajar diharap akan mencapai objektif-objektif berikut:

i. Objektif Umum

Meningkatkan markah pelajar dalam subjek Sejarah

ii. Objektif Khusus

· Membantu meningkatkan daya ingatan para pelajar dalam subjek Sejarah

· Meningkatkan minat pelajar dalam subjek Sejarah

· Meningkatkan peratus pelajar yang mendapat markah yang cemerlang bagi subjek Sejarah


4. Kumpulan sasaran

Kajian ini melibatkan 30 orang pelajar tingkatan 3 Wardah.


5. Tindakan yang dicadangkan

5.1 Tinjauan masalah

Sebelum intervensi untuk menyelesaikan masalah dijalankan, beberapa tinjauan terhadap masalah yang tersebut dijalankan untuk pemahaman yang menyeluruh. Tinjauan dilakukan dengan mengutip data seperti yang berikut.

· Pemerhatian dibuat berdasarkan markah ujian bulanan sejarah bulan Januari dan Februari

· Borang kaji selidik bagi mengetahui masalah pembelajaran sejarah



5.2 Program ‘Irama Sejarah ’

Cara pelaksanaan;

i) Guru meminta pelajar untuk membuat pembacaan awal berkenaan tokoh-tokoh sejarah tanahair

ii) Pelajar dibahagikan kepada 6 kumpulan kecil

iii) Pelajar diminta untuk memilih satu lagu kegemaran dan mengubah lirik lagu tersebut yang menceritakan tentang tokoh dalam negeri-negeri yang terpilih

iv) Setiap kumpulan diminta untuk mempersembahkan lagu gubahan mereka pada akhir kelas dan memberikan lirik lagu kepada semua pelajar di dalam kelas tersebut

v) Semua pelajar diminta untuk menyanyikan lagu-lagu gubahan tersebut dengan bantuan lirik

vi) Pada kelas seterusnya, pelajar diminta menyanyi tanpa lirik bagi mengukuhkan ingatan mereka terhadap fakta-fakta tersebut.

vii) Selepas seminggu, satu ujian penilaian berkenaan topik tersebut dijalankan bagi menguji ingatan pelajar.


6. Jadual Pelaksanaan Kajian

Bil

Aktiviti

Tarikh Pelaksanaan

1

Mengenal pasti masalah dan pengumpulan data awal

Hari pertama – hari ke-14

2

Menulis kertas cadangan kajian

Hari ke-15 – hari ke-20

3

Merancang tindakan

Hari ke-21 – hari ke-25

4

Melaksanakan tindakan

Hari ke-26 – hari ke-40

5

Ujian penilaian untuk mengesan pencapaian murid

Hari ke- 47

6

Refleksi kajian

Hari ke- 49

7

Menulis laporan kajian

Hari ke-50 – hari ke-57

8

Pembentangan dapatan kajian

Hari ke-60



7. Kos Kajian

Bil

Jenis bahan

Kuantiti X harga seunit

Jumlah Kos

1

Kertas A4

3 x RM 10.00

RM 30.00

2

Kertas Mahjong

6 x RM 0.60

RM 3.60

3

Marker

6 x RM 2.50

RM 15.00

4

Printer catridge

2 x RM 55.00

RM 110.00

JUMLAH

RM 158.60

0 comments: