CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Sunday, May 24, 2009

Tugasan 1: Ulasan BUKU - sambungan

Sebelum saya meneruskan dengan ulasan buku, ingin saya nyatakan bahawa post kali ini adalah sebenarnya lanjutan kepada post Tugasan 1: Ulasan Buku pada 24 April.

Konsep Kajian Tindakan
Kajian tindakan ialah proses di mana penyelidik merefleks tentang amalan pengajaran dan pembelajaran yang sedia ada serta penyelidik akan mula tampil dengan masalah yang perlu diselesaikan.

Mengapa guru perlu membuat kajian tindakan?
  1. Guru boleh membuat perubahan praktikal yang membawa kepada penambahbaikan proses pengajaran dan pembelajaran (p&p) dalam bilik darjah.
  2. Sekiranya ramai guru membuat kajian tindakan, maka pelbagai strategi p&p yang berkesan boleh dikumpulkan. Ini adalah sesuatu tindakan yang baik kerana guru-guru boleh berkongsi strategi dan memilih strategi yang terbaik dan bersesuaian dengan konteks pelajarnya.
  3. Guru-guru mempunyai bukti bahawa mereka adalah inovatif, reflektif dan mengikuti perkembangan semasa serta bersedia mencuba kaedah-kaedah baru yang diperkenalkan.
  4. Penemuan yang berdasarkan kepada bukti penting bukan sahaja pada peringkat bilik darjah tetapi ia boleh mempengaruhi pembuat polisi membuat keputusan yang boleh memberi faedah kepada pelajar.

Reka Bentuk Kajian Tindakan

  • Model - model yang diketengahkan dalam buku ini adalah seperti gambar di bawah. Walaupun gambar di bawah kurang jelas tapi kita masih dapat melihat model ini mengambarkan kajian tindakan seperti putaran roda. Ia bukanlah satu bentuk kajian yang dijalankan dalam satu pusingan sahaja malah ia boleh diperbaiki dan diulang sehingga mencapai tahap perubahan yang diinginkan. Model ini juga merupai model-model lain dalam kajian tindakan, contohnya model oleh Lewin (1946, dalam Cohen et al. , 2000) yang menyatakan kajian tindakan ialah satu siri langkah yang berulang yang meliputi perancangan, tindakan, pemerhatian dan penilaian tentang kesan tindakan (Taylor, Wilkie & Baser, 2006). Penerangan lanjut berkenaan model ini akan diterangkan dalam prosedur kajian tindakan di bawah.
  • Sampel/ Peserta kajian - sampel ialah para pelajar
  • Setting Kajian - seperti yang telah dinyatakan sebelum ini, buku ini ditujukan untuk guru novis yang baru sahaja berjinak-jinak dengan kajian tindakan, maka setting kajian yang dibincangkan adalah pada skala kecil iaitu dalam bilik darjah
Prosedur Kajian Tindakan
Menurut buku ini, langkah-langkah dalam kajian tindakan adalah seperti berikut:
  1. Refleksi dan analisis amalan pada masa sekarang. Mendapat idea umum tentang tajuk dan konteks kajian.
  2. Meninjau literatur dan berbincang dengan rakan sekerja berkenaan tajuk.
  3. Menyediakan tentatif pelan tindakan dan mengambil kira pelbagai strategi kajian.
  4. Mengambil tindakan. Memantau kesan tindakan - penilaian tentang strategi dan persoalan kajian.
  5. Membuat kesimpulan, penerangan dan cadangan untuk kajian pada masa hadapan.
  6. Sekiranya proses di atas tidak boleh menjurus kepada penyelesaian, maka penilaian tentang keseluruhan dilakukan.
  7. Tajuk dihalusi semula - pemilihan teks kunci, formulasi persoalan kajian, pelan tindakan yang dihalusi semula
  8. Pelan tindakan dirancang semula.
Pengumpulan dan Penganalisaan Data

.: Instrumen Kajian dan Teknik Pengumpulan Data

a) Nota Lapangan
- Merupakan cara yang cepat dan mudah untuk merakam aspek tingkah laku. Ia merupakan nota tentang pemerhatian cepat berkaitan dengan sesuatu yang sedang berlaku sekarang.
- Perakaman tentang nota rakaman boleh merupakan sesuatu yang kebetulan atau dirancang terlebih dahulu iaitu contohnya jika penyelidik ingin melihat tentang sesuatu yang spesifik (contoh tingkah laku pelajar)

- Kebaikan:
i) Rekod yang tulus
ii) Berguna untuk pemerhatian spesifik yang boleh menunjukkan banyak butiran
iii) Perbandingan berkaitan dengan masa mudah untuk dilakukan
iv) Bagus digunakan untuk mengutip data untuk kajian kes
- Keburukan:
i) Boleh menyebabkan rekod yang terlampau banyak dan melarikan fokus kajian
ii) Subjektif
iii) Tidak boleh digunakan untuk perbualan
iv) Mesti dianalisa secepat mungkin untuk memudahkan proses mengingat semula butiran

b) Rakaman pita audio dan video
- Oleh kerana nota lapangan tidak dapat merekod perbualan, maka pita audio dan video boleh digunakan untuk merakam interaksi, kesenyapan, kelajuan percakapan, intonasi suara serta perkataan sebenar yang diucapkan.
- Boleh mengurangkan bias kerana maksud sebenar dalam interaksi adalah jelas.
- Rakaman video boleh menganalisa postur tubuh dan ekspresi muka yang boleh menunjukkan reaksi dan aksi terhadap sesuatu tindakan, tetapi ia juga boleh disalahanggap. Maka, ia perlu disertakan sekali dengan bukti lain yang didapati daripada trangulasi data.

- Kebaikan:
i) Membuat rekod tepat dan boleh dimainkan berulang kali
ii) Memberi lebih banyak butiran berbanding rekod lain
iii) Tiada bias personal
iv) Boleh ditranskripsikan pada waktu lain
- Keburukan:
i) Bias prosedur (kehadiran peralatan/ pergerakan kanak-kanak)
ii) Bunyi/pergerakan latar belakang boleh mengganggu
iii) Video memerlukan tukang rakam
iv) Memerlukan masa untuk transkripsi

c) Jadual Pemerhatian Berstruktur
- Sesuai digunakan untuk mengumpul data objektif dan ia boleh digunakan sama ada semasa aspek pengajaran atau pembelajaran.
- Untuk membangunkan instrumen ini, 3 kata kunci yang penting iaitu kesesuaian, kejelasan dan ketangkasan melakukan pemerhatian
- Aspek yang perlu diambil kira: pemilihan bilik darjah yang dijadikan subjek, reka bentuk jadual, pemerhatian dan pentafsiran tingkah laku

- Kebaikan:
i) Merekod tingkah laku yang penting untuk analisis data
ii) Maklumat spesifik boleh dikumpul secukupnya
iii) Impak visual boleh diperhatikan - masalah boleh dikenalpasti
- Keburukan:
i) Boleh menjadi sukar untuk merekod sesetengah pergerakan
ii) Banyak maklumat hilang seperti maklumat non-verbal
iii) Bias prosedural kerana pemerhati yang membuat nota pemerhatian

d) Borang Soal Selidik
- Ia merupakan satu tinjauan tentang pelbagai pendapat daripada sejumlah orang yang banyak yang memberi maklum balas secara tanpa dikenali.
- Soalan yang ditanya adalah standard dari segi jenis dan jumlah soalan
- Oleh kerana jawapan diberi tanpa dikenali sumbernya, maka ia boleh mendapatkan pendapat yang jujur

- Kebaikan:
i) Cepat untuk diadministrasikan
ii) Jawapan tanpa dikenali sumber
iii) Banyak respons
iv) Tiada interaksi muka
v) Soalan adalah standard
- Keburukan:
i) Memerlukan masa yang panjang untuk direka
ii) Jawapan adalah tanpa penerangan lanjut
iii) Maklumat hanya pada peringkat permukaan sahaja
iv) Sukar untuk mengikuti respons yang menarik

e) Temubual
- Merupakan interaksi muka ke muka yang membenarkan penemubual untuk bertanya tentang soalan-soalan yang telah tersedia
- Perlu mengambil kira pelbagai aspek; setting, organisasi temubual, pengurusan masa, bias, fokus temubual, bilangan soalan, jenis soalan, penyataan, bilangan temubual, analisis data kualitatif dan jadual temubual

- Kebaikan:
i) Penyelidik bertemu dengan orang yang ditemubual - perkongsian personal membantu
dalam interpretasi makna
ii) Jawapan yang menarik boleh diikuti tanpa penangguhan
iii) Pita rakaman (dengan kebenaran) boleh digunakan untuk merekod butiran
iv) Maklum balas personal boleh diperolehi
- Keburukan:
i) Mengambil masa menyebabkan kurang respons
ii) Prosedural dan personal bias
iii) Penyelidik boleh mendorong orang yang ditemubual kepada jawapan - bias berlaku
iv) Sukar untuk difokuskan kepada isu
v) Memerlukan masa untuk saling percaya antara penemubual dan orang yang ditemubual


.: Teknik Penganalisaan
Setiap data mentah yang diperolehi perlulah diproses dan diberi makna. Untuk membuat penerangan tentang data mentah yang diperolehi kata kunci seperti tema, insidens, corak dan trend boleh digunakan. Memandangkan kajian yang dilakukan dalam bilik darjah tidak melibatkan jumlah murid yang ramai, maka analisa statistikal yang kompleks tidak diperlukan, cukuplah menggunakan diagram, jadual dan graf untuk menunjukkan hasil penemuan. Apa yang paling utama ialah pemilihan cara untuk melapor dan mempamer data mestilah bersesuaian dan logik dengan jumlah data yang diuruskan. Buku ini data dilaporkan dan dipamerkan mengikut sumber data diperolehi:

a) Data daripada kajian kes:
Sekiranya hanya sebilangan kecil pelajar dikaji, maka data boleh dilaporkan secara kajian kes individu. Penyelidik juga perlu mengumpul bukti kumulatif agar ia boleh mengenalpasti data yang menunjukkan adakah penambahbaikan telah tercapai untuk sesetengah individu atau memerlukan lebih latihan.

b) Data daripada pemerhatian berjadual:
Oleh kerana pemerhatian dilakukan secara berjadual, rekod pemerhatian ini seharusnya sudah boleh menunjukkan corak dan trend tingkah laku. Ia juga boleh digunakan untuk perbandingan dengan mengkaji pemerhatian pada peringkat awal dan peringkat akhir.

c) Data daripada soal selidik
Soalan jenis tertutup
d) Data daripada rakaman audio dan temubual
Untuk rakaman audio, transkripsi dianalisa. Ekstrak ringkas daripada rakaman audio dan temubual boleh diletakkan dalam teks tesis atau laporan kerana ia membantu pemahaman pembaca tetapi perbualan penuh perlu disertakan dalam appendiks.

e) Data daripada rakaman video
Penerangan penuh verbal perlu dibuat dalam laporan tesis kerana pembaca mungkin tidak akan melihat sendiri pita video tersebut atau tidak mempunyai masa atau kemahiran untuk membuat pemerhatian. Gambar juga perlu diambil daripada video untuk memberi penerangan yang lebih kritikal.


Etika Kajian Tindakan
Buku ini membincangkan beberapa isu etika. Antaranya: protokol pemerhatian, kesulitan, anonim (tidak dikenali), kajian kanak-kanak, bias, kesahan dan kebolehpercayaan.

a) Kesahan
Menurut buku ini, kajian bilik darjah yang melibatkan skala kecil tidak memerlukan analisis statistikal untuk membuktikan kesahan kajian. Namun begitu, beberapa persoalan perlu dijawab untuk memberi kesahan pada kajian iaitu:
  • Adakah soalan dibentuk secara jelas supaya jawapan akan memberi data untuk menjawab persoalan kajian
  • Adakah prosedur adalah jelas dalam semua peringkat?
  • Adakah langkah telah diambil untuk mengurangkan bias dan meningkatkan kebolehpercayaan?
  • Adakah tuntutan yang dibuat berdasarkan kepada persoalan kajian, pelan tindakan dan bukti-bukti yang telah dikumpulkan?
b) Kebolehpercayaan
Mengurangkan bias adalah satu cara untuk menjadikan kajian memiliki kebolehpercayaan. Dalam bilik darjah, banyak perkara boleh dilakukan untuk meningkatkan kebolehpercayaan, contohnya jangan terburu-buru mengumpul data, sebaliknya perlu dirancang sebaik mungkin.

Seminar Pendidikan Serantau Ke-4

Seminar Pendidikan Serantau Ke-4
dan
Pertandingan Penyelidikan Pendidikan Nusantara 2009
"Ke Arah Keunggulan Universiti Penyelidikan"


Tarikh:
18-21 Mei 2009

Tempat:
Klana Resort Seremban

Anjuran:
Fakulti Pendidikan, UKM
Fakulti Keguruan dan Ilmu Pendidikan, UNRI

Tugasan 2: Ulasan dan Analisis Artikel Jurnal Kajian Tindakan

Arahan Tugasan:
  • Dapatkan 3 artikel jurnal luar negara yang memerihalkan kajian tindakan yang telah dilakukan dalam pendidikan.
  • Lakukan perbandingan (persamaan dan perbezaan) dari segi prosedur kajian tindakan yang dilakukan dan laporkan dalam blog individu.
  • Uploadkan semua artikel dalam yahoogroups.
Tarikh akhir hantar: 26 Mei 2009
Peratus Kerja Khusus: 10%

Tajuk artikel jurnal yang telah dipilih ialah:
  1. Cohen, L. & Byrnes, K. 2007. Engaging Children with Useful Words: Vocabulary Instruction in 3rd Grade Classroom. Reading Horizons Journals 47 (4): 271-293. http://proquest.com [12 May 2009].
  2. Keaton, J.M., Palmer, B.C., Nicholas, K.R. & Lake, V.E. 2007. Direct Instruction with Playful Skill Extensions: Action Research in Emergent Literacy Development. Reading Horizons Journals 47(3): 229-250. http://proquest.com [12 May 2009].
  3. Bintz, W.P. & Dillard, J. 2007. Teachers as Reflective Practitioners: Examining Teacher Stories of Curricular Change in a 4th Grade Classroom. Reading Horizons Journals 47 (3): 203-227. http://proquest.com [12 May 2009].

Tuesday, May 12, 2009

Sorotan Literatur dalam Kajian Tindakan

Soroton literatur (literature review) ialah sorotan ke atas bahan-bahan literatur seperti buku, jurnal, artikel dll. Ia dilakukan secara kritikal ke atas poin-poin yang dikemukan dalam literatur tersebut. Maka, ia memerlukan kemahiran berfikir aras tinggi seperti membuat banding-beza, menganalisis, menilai dan membuat keputusan.

Membandingkan dan membezakan:
- mencari persamaan dan perbezaan berdasarkan kepada kriteria seperti ciri-ciri, sifat-sifat, kualiti dan unsur sesuatu objek dan peristiwa
- kemahiran ini digunakan apabila:
1. terdapat 2 atau lebih ciri atau kemungkinan
2. membuat pilihan atau keputusan
- Langkah penggunaan:
1. Perhatikan dan berikan tumpuan kepada 1 atau beberapa ciri kajian tindakan (sampel,
setting, prosedur, pengumpulan dan penganalisaan data)
2. Kenalpasti ciri kajian tindakan
3. Tentukan sama ada kajian tindakan yang lain mempunyai ciri-ciri yang sama
4. Nyatakan ciri itu sama/berbeza

Menganalisis
- mengolah maklumat dengan menghuraikannya kepada bahagian yang lebih kecil bagi memahami sesuatu konsep atau peristiwa serta mencari makna yang tersirat
- kemahiran ini digunakan untuk mengenali bahagian-bahagian, memahami hubungkait antara bahagian dan mengenali prinsip yang terlibat
- merupakan satu konsep yang kompleks menggunakan beberapa ciri kemahiran berfikir

Menilai
- membuat pertimbangan tentang sesuatu perkara daripada segi kebaikan dan kelemahan berdasarkan bukti atau dalil yang sah
- kemahiran ini digunakan untuk membuat keputusan bagi:
a) memilih sesuatu
b) menerima atau menolak sesuatu idea

Membuat Kesimpulan
- membuat pernyataan tentang hasil sesuatu kajian yang berdasarkan kepada sesuatu hipotesis atau mengukuhkan sesuatu perkara berdasarkan penyiasatan
- kemahiran ini digunakan untuk membuat keputusan, menerangkan sesuatu, meramal atau menyokong penyataan

Mensintesis
- menggabungkan idea, unsur dan perkara yang berasingan untuk menghasilkan gambaran yang menyeluruh dalam bilik pernyataan, esei, lukisan dan artifak
- boleh menghasilkan resolusi baru

Perubahan dalam Pendidikan

Bidang pendidikan merupakan faktor utama untuk menyediakan manusia menghadapi cabaran pada masa depan. Namun, dalam bidang pendidikan, perubahan adalah sesuatu yang tidak daat dielakkan. Malah perubahan didapati lebih menggambarkan ciri-ciri pendidikan berbanding dengan kestabilan.

Terdapat 4 jenis perubahan:
1. Perubahan ke arah peningkatan - perubahan jenis ini menuju ke arah kebaikan
2. Perubahan strategik organisasi - melibatkan keseluruhan organisasi seperti sekolah
3. Perubahan reaktif - perubahan akibat desakan atau tindak balas langsung daripada pelanggan dan pihak berkepentingan
4. Perubahan akibat daripada jangkaan - perubahan ini tidak disebabkan oleh desakan pelanggan tetapi kerana terdapat kesedaran dalam kalangan pengurusan yang perlu diadakan perubahan bagi memastikan organisasi memperolehi kebaikan kompetitif

Perubahan dikaitkan dengan proses evolusi dan proses revolusi:
1. Proses evolusi
- dikatakan sebagai perubahan yang menghasilkan kesan yang sedikit dalam tempoh yang
panjang
- menyebabkan perubahan yang ketara dalam status quo

2. Proses revolusi
- perubahan yang pantas
- perubahan yang akan meninggalkan kesan yang membinasakan

Perubahan adalah multidimensi dan sebarang perubahan yang diambil untuk mengadakan perubahan melibatkan pelbagai pertimbangan demi mengenalpasti semua dimensi yang berkaitan. Terdapat 6 dimensi yang perlu difahami:
1. Tujuan perubahan
2. Unit perubahan
3. Sifat perubahan
4. Magnitud perubahan
5. Skop perubahan
6. Jangka masa perubahan

Model-model perubahan:
1. Model Penggabunggan Roger
2. Model Kanter
3. Model Rand
4. Model ACOT

Tuesday, May 5, 2009

Aktiviti Semasa Kuliah 3

Pada akhir Kuliah 3 yang diberikan oleh Dr. Mohd Izham pada minggu ini, kami dikehendaki membentuk kumpulan untuk berbincang dan menjawab 2 soalan berkaitan dengan perubahan:

Ahli Kumpulan:
1. Mohd. Fairus Khazali Ismail
2. Elenser Uning

Senaraikan 8 sebab kenapa orang takut untuk berubah:
1. Takut gagal
2. Selesa dengan keadaan semasa
3. Tidak peka dengan perubahan global
4. Perubahan tersebut tidak adil kerana ia hanya memberi kebaikan kepada pihak-pihak tertentu sahaja
5. Sikap malas untuk berubah
6. Tidak faham tentang perubahan yang ingin dilakukan walaupun sebenarnya dia ingin berubah
7. Mempunyai kekangan yang membolehkan perubahan sukar dilakukan seperti kewangan, agama dan budaya
8. Berfikiran sempit

Apakah langkah-langkah yang boleh dilakukan untuk mengatasi sebab-sebab di atas?
1. Pihak yang memperkenalkan perubahan hendaklah menjelaskan perubahan yang ingin dilakukan secara terperinci
2. Menyediakan salur bantuan seperti dari segi kewangan untuk mempromosi perubahan
3. Memberi insentif kepada pihak yang awal berubah
4. Memastikan perubahan yang ingin dilakukan mengambil kira semua pelbagai pihak

Reflektif dalam P&P

Masalah:
Komunikasi dua hala antara pelajar dengan guru kurang berkesan. Antara sebab yang dikenalpasti ialah masalah penyebutan perkataan (pronounciation) guru lemah menyebabkan pelajar tidak faham isi pembelajaran yang ingin disampaikan oleh guru.

Matlamat: Memastikan interaksi antara guru dan pelajar lebih berkesanJustify Full
Objektif: Meningkatkan kemahiran sebutan perkataan Bahasa Inggeris guru

Pelan Tindakan:
1. Membeli kamus elektronik atau kamus yang mempunyai simbol bagaimana untuk menyebut
2. Menonton dan mendengar rancangan televisyen atau radio yang menggunakan bahasa Inggeris
3. Berlatih lebih kerap berbahasa Inggeris dengan kawan
4. Tidak malu bertanya kepada orang lain sekiranya tidak tahu menyebut sesuatu perkataan

Pemantauan:
1. Memantau sesi P&P dalam kelas
2. Membuat kaji selidik daripada pelajar
3. Meminta rakan-rakan sekerja menegur/memberi komen tentang penggunaan bahasa Inggeris

Penilaian:
Berdasarkan kepada kefahaman pelajar tentang isi pengajaran